Archive

Archive for the ‘Rawatan Moden’ Category

Teknik Ikat Perut

October 5th, 2009

Mereka yang mencatat BMI 30 ke atas perlu menitikberatkan pengurusan berat badan

OBESITI atau kegemukan ialah masalah sejagat. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan pada 2015 ada 2.3 bilion orang yang berusia 15 tahun ke atas boleh dikategorikan sebagai terlebih berat, manakala 700 juta yang lain dalam kategori obes.

Selain itu 20 juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun didapati terlebih berat pada 2005.

Kadangkala tindakan mengawal pemakanan, mengambil pil diet, bersenam atau kaedah menyedut lemak bukan lagi jawapan terbaik untuk menurunkan berat badan. Apatah lagi jika anda memiliki jisim berat badan (BMI) melebihi 37.2! Dikategorikan sebagai morbid obesiti, anda sebenarnya memerlukan kaedah pengurusan berat badan yang lebih baik.

Ada banyak prosedur perubatan yang selamat untuk anda pilih apabila berat badan mula mencecah kategori obes. Jangan tunggu sehingga BMI 37.2, sebaliknya jika BMI anda sudah mencatat angka 30 ke atas, ditambah dengan faktor rekod perubatan keluarga yang buruk, anda layak untuk memilih jalan pintas untuk kurus.

Pakar Runding Am, Gastrousus dan Pembedahan Laparaskopik, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam, Dr Lukman Mohd Rashid, berkata ada banyak prosedur perubatan yang selamat boleh dipilih mereka yang obes dengan syarat merujuk kepada doktor pakar untuk kaunseling dan nasihat.

“Nasihat doktor membantu seseorang itu membuat pilihan terbaik berdasarkan kemampuannya. Ada sesetengah prosedur pula tidak boleh dilakukan kepada kanak-kanak,” katanya.

Dr Lukman berkata, antara prosedur perubatan yang boleh dipilih ialah balon intragastrik atau pembedahan ikat perut (gastrik banding).

“Jika dibanding antara kedua-duanya, balon intragastrik ialah prosedur tanpa pembedahan, tidak kekal dan agak murah jika dibanding dengan teknik yang lain), manakala gastrik banding membabitkan pembedahan dan lebih mahal,” katanya.

Belon intragastrik

Prosedur belon intragastik sudah dikenali sejak 1980. Berbanding pembedahan ‘gastrik banding’, prosedur ini bersifat sementara dan dianggap sebagai terapi menurunkan berat badan.

“Belon intragastik tidak membabitkan pembedahan. Sebaliknya, satu belon silikon akan dimasukkan ke bahagian perut dalam prosedur ringkas yang mengambil masa sekitar 30 minit,” katanya.

Dalam prosedur ini, belon yang dibuat daripada silikon lembut akan dimasukkan ke dalam perut melalui mulut berpandukan kamera endoskopik. Bius am digunakan (atau sedation ‘bius separa’ boleh digunakan), membantu otot lebih rehat dan memudahkan prosedur.

Apabila belon dimasukkan, ia akan diisi dengan saline (cecair) bersteril menerusi tiub kecil yang dilekat bersama belon. Belon mampu menampung cecair antara 400 cc hingga 700 cc bergantung kepada kesesuaian pesakit) yang mengisi sebahagian besar ruang perut. Disebabkan prosedur yang singkat, pesakit juga boleh pulang ke rumah selepas 24 jam.

“Bagaimanapun, belon tidak boleh lama berada dalam perut untuk mengelak komplikasi pecah jika digunakan selama lebih daripada enam bulan. Selepas itu, ia akan dikeluarkan dalam satu lagi prosedur ringkas. Ia adalah teknik pilihan, terutama kanak-kanak obes,” katanya.

Kata Dr Lukman, belon yang mengisi sebahagian perut menyebabkan pesakit berasa kenyang dan kurang berselera makan. Tanpa pembedahan, prosedur ini hanya menyelaraskan diet dan mengubahsuai tingkah laku.

Dalam tempoh enam bulan, seseorang itu mampu menurunkan berat badan sehingga 15 kilogram. Malah dalam dua minggu pertama, pesakit mampu mengurangkan hingga empat kilogram.

“Sebenarnya mengekalkan berat badan itu yang lebih sukar berbanding menurunkan berat badan. Walaupun belon akan dikeluarkan selepas enam bulan, tetapi mereka yang berdisiplin mampu mengekalkan berat badan. Mereka akan memperoleh berat badan ideal dan mempertahankannya tanpa bantuan belon,” katanya.

Pembedahan ikat perut (gastrik banding)

Pembedahan ikat perut ialah satu lagi prosedur pembedahan mengawal berat badan yang popular. Tidak seperti belon intragastrik, prosedur ini membabitkan pembedahan dan memakan masa antara satu ke dua jam.

“Bagaimanapun, prosedur ini disarankan kepada mereka yang mengalami masalah morbid obesiti dan mengelak komplikasi penyakit yang berkaitan dengan obesiti. Ia bukan pembedahan kosmetik,” katanya.

Kata Dr Lukman, morbid obesiti mahupun obesiti adalah ancaman kesihatan yang membawa kepada komplikasi penyakit lain seperti darah tinggi, kencing manis, sakit sendi dan masalah berdengkur atau pernafasan. Malah, kemandulan juga boleh dikaitkan dengan morbid obesiti.

Justeru, ia seharusnya tidak disalah guna oleh mereka yang tidak sepatutnya. Misalnya, model yang ingin kekal kurus.

Dalam prosedur pembedahan ikat perut, gegelung silikon penyekat akan diletakkan di sekeliling perut untuk membentuk perut seperti punjut kecil. Bahagian yang dijerut dengan silikon menyebabkan laluan atas perut itu sempit.

Ini membuatkan pesakit berasa kenyang walaupun pengambilan makanan dihadkan. Malah dalam sesetengah kes, jika pesakit itu masih menikmati makanan sesuka hati, dia akan termuntah. Namun, prosedur begini memerlukan kerjasama dan disiplin pesakit.

Dr Lukman berkata, walaupun makanan pejal tidak boleh melepasi ikatan perut tetapi makanan dalam bentuk cecair boleh melepasinya. Justeru, pembedahan ini tidak akan mencapai sasaran jika pesakit masih mengambil minuman dengan kadar kalsium atau karbohidrat yang tinggi.

Dalam prosedur ini, bahagian atas perut akan diikat tetapi kedua-dua bahagian akan disambungkan ruang saluran kecil. Makanan akan melalui ruang ini daripada bahagian atas perut dengan lebih perlahan menyebabkan rasa kenyang lebih lama.

Gegelung yang mengikat bahagian perut boleh dilaraskan kerana bahagian permukaan dalamnya boleh diisi dengan larutan bergaram atau dikempiskan untuk mengubah saiz ruang, seperti gelung tekanan darah.

Ia disambungkan menerusi tiub ke takungan larut garam yang diletakkan di bawah kulit dan lemak ketika pembedahan. Takungan ini tidak boleh dilihat tetapi dirasai apabila anda menekan abdomen. Selepas pembedahan, doktor boleh mengawal larutan bergaram dalam gegelung memasukkan jarum halus menerusi kulit.

Pembedahan ini membantu pesakit menurunkan hingga 40 peratus berat badannya. Bagaimanapun, jumlah itu berbeza untuk setiap orang. Ikatan pada perut juga boleh dibuka jika pesakit sudah mendapatkan berat badan yang sesuai atau berubah fikiran.

Kata Dr Lukman, berbanding belon intragastrik, prosedur ini agak mahal bergantung pada pusat rawatan yang dipilih pesakit.

INFO: Obesiti dan prosedur ikat perut

  • Senaman, diet dan pil kurus bukan jawapan terbaik untuk anda yang mengalami morbid obesiti
  • Prosedur menurunkan berat badan boleh dilakukan sekiranya BMI anda melebihi 30
  • Belon intragastrik adalah prosedur tanpa bedah dan dilakukan dalam masa 30 minit
  • Belon intragastrik bagaimanapun bukan prosedur kekal. Belon perlu dikeluarkan enam bulan selepas prosedur.
  • Pembedahan ikat perut adalah prosedur popular menurunkan berat badan bagi mereka yang morbid obesiti.
  • Pembedahan ini membabitkan jerutan bahagian atas perut dengan gegelung boleh laras
  • Selepas pembedahan, pesakit perlu mematuhi diet yang disarankan dan membuat rawatan susulan.
Berita Harian Oleh Hafizah Iszahanid

Share/Save/Bookmark

admin Rawatan Moden

Sauna Banyak Kebaikan?

April 13th, 2009

Salam,

Ramai yang ‘concern’ dengan kesihatan dan berat badan yang ideal cuba mencari pelbagai cara untuk mencapai matlamat masing-masing. Antaranya dengan mengunjungi spa yang menyediakan sauna. Namun sejauh manakah sauna boleh memberi manfaat untuk kita?

Saya ingin berkongsi artikel berguna daripada kevinzahri.com mengenai sauna dan kelebihannya.

Did You Know? 15-20 minutes of sauna is equivalent to 1-2 hours of brisk walking.

1. Releases Toxins (detox)

2. Burns Calories (can reduce weight)

3. Reduces Acne and Skin Problems

4. Improve Immune System

5. Reduce Stress and Relaxation

Releases Toxins (detox). As much as 1/3 toxins dibuang melalui kulit badan - through sweat! So dengan peningkatan metabolisma badan di sauna, more toxins are released.

For more info about detox, read my post on Juvanex detox diet

Burns Calories (can reduce weight). Dengan hanya duduk di sauna, metabolisma badan akan meningkat sehingga 50%. That prolonged states obviously makes our obdy burn more calories. That pulak can potentially help you to kurangkan berat badan.

Reduces Acne and Skin Problems. Those suffering from acne, cuts or skin irritations can benefit from regular sauna sessions. Ok now I am no skin or beauty expert but based on what I read, it definitely makes sense. What elevated heart rate and metabolism will increase the blood flow to the skin. More blood there means more bekalan nutrien and oxygen to the skin.

Improve Immune System. With rising body temperature, our immune system produces more sickness fighting cells. This reaction indirectly boosts our sistem pertahanan badan.

Reduce Stress and Relaxation. Toxins or not, a 15-20min stay in a sauna releases chemicals, hence reducing stress. Also heat therapy is relaxing…just like a hot bath (I like these) hahaha.

Share/Save/Bookmark

admin Cerita Tentang Kurus, Rawatan Moden, Tip Kurus

Tuah Badan Noryn Aziz

April 9th, 2009

APABILA penyanyi terkenal, Noryn Aziz dilantik sebagai duta pusat pelangsingan badan terkenal, Marie France Bodyline, pelbagai persoalanan berlegar di minda.

Apa lagi yang Noryn mahu lakukan pada tubuhnya sedangkan jika dilihat pada susuknya, dia memiliki tubuh yang cukup langsing dan bisa mencairkan hati ramai jejaka.

Saat perkara itu diajukan kepadanya sewaktu majlis pelantikannya sebagai duta pusat pelangsingan tersebut di Bandar Sunway, Selangor, baru-baru ini, anak kelahiran Petaling Jaya ini hanya mampu melemparkan senyuman sahaja.

“Pertamanya, saya menyifatkan tawaran yang diberikan kepada saya ini sebagai sesuatu yang cukup berbaloi dan saya bangga apabila dipilih sebagai duta pusat tersebut.

“Mungkin orang melihat daripada segi luaran tubuh badan saya begitu sihat dan cantik tetapi sebenarnya tidak. Apabila sudah mengikuti rawatan di pusat ini, barulah saya tahu apa yang perlu dihapuskan daripada badan saya bagi memiliki tubuh yang lebih menarik,” katanya sambil ketawa kecil.

Jelasnya, pada suatu ketika tubuh badannya pernah mencecah berat 65 kilogram sekitar tiga hingga empat tahun yang lalu sehingga dia gemar memakai pakaian berwarna hitam semata-mata untuk menutupi bentuk badannya.

Tambahan pula, dengan memiliki darah campuran Melayu, Inggeris dan Arab, potensi Noryn untuk memiliki tubuh badan yang gempal amat tinggi.

Menyedari tentang perkara itu, dia juga perlu mempunyai stamina dan tenaga yang tinggi ketika mengadakan persembahan.

Inisiatif

Justeru, dia sendiri mengambil inisiatif ketika itu dengan berkunjung ke Marie France Bodyline dan mencuba rawatan yang ditawarkan di pusat tersebut.

“Kata orang tu, kalau tidak cuba sendiri, kita tidak akan tahu bagaimana hasilnya. Sebelum datang ke sini pun, orang sudah bercerita kepada saya kesakitan yang akan dialami sewaktu rawatan.

“Tetapi, ternyata telahan itu semuanya salah dan apa yang boleh saya katakan, rawatan yang ditawarkan di sini semuanya berkualiti dan menepati piawaian mutu antarabangsa. Jadi, tidak perlu gusar datang ke sini untuk mendapatkan rawatan,” katanya penuh optimis.

Setelah menjalani rawatan beberapa kali dan dilantik menjadi duta, Noryn berjaya mengurangkan berat badannya sebanyak empat kilogram menjadikan beratnya sekarang 46 kilogram berbanding 50 kilogram sebelum ini.

Malah, Noryn memberitahu sebelum ini dia turut mempunyai masalah untuk menghilangkan lemak di bahagian perut dan paha.

“Disebabkan itu juga, saya ke pusat ini untuk membantu menyelesaikan masalah saya itu. Bukan sekadar untuk menurunkan berat badan tetapi ia juga bagi membantu memejalkan kulit agar menjadi licin dan rata,” katanya yang mengikat kontrak selama setahun bersama pusat pelangsingan tersebut.

Tambah Noryn, dia bukan tidak melakukan senaman tetapi enggan melakukan rejim senaman yang berat di gimnasium kerana tidak mahu tubuhnya menjadi begitu berotot.

Setelah mendapat bentuk tubuh yang ideal, penyanyi yang popular dengan lagu Cerita Cinta dan Alam Maya ini menjelaskan, dia kini lebih berdisiplin dalam aspek pemakanan dan juga senaman.

“Bayangkan, sejak saya muncul kembali dalam bidang hiburan dua tahun lalu, waktu kerja saya memang tidak menentu. Kalau malam lepas persembahan, saya pasti akan ke kedai mamak dan makan kari kepala ikan yang memang menjadi kegemaran saya.

“Tetapi kini, makan lewat malam sudah tiada lagi dalam kamus hidup saya. Malah, saya juga mengamalkan makanan yang sihat seperti memperbanyakkan memakan sayur-sayuran dan tidak meminum minuman berais. Saya juga semakin yakin dalam setiap langkah yang saya ambil,” ujar pemilik nama sebenar Norazmahwati Abd. Aziz ini lagi.

Sambil menolak cara pantas untuk menguruskan badan dengan menyedut lemak mahupun menelan pil kurus seperti sesetengah orang, Noryn percaya dengan keazaman serta disiplin yang kuat, seseorang itu mampu menguruskan badan mereka dengan cara yang selamat tanpa memudaratkan kesihatan.

Noryn merupakan artis wanita kedua yang dilantik menjadi duta Marie France Bodyline selepas Datin Seri Normala Shamsudin yang juga bekas pengacara rancangan Nona di TV3.

Dalam perkembangan lain, Noryn memberitahu album barunya akan hanya muncul di pasaran tahun hadapan kerana dia perlu memberikan fokus serta membuat keputusan yang bijak dalam melahirkan produk yang berkualiti.

“Masalahnya sekarang, ramai yang mahu jadi penerbit untuk lagu masing-masing sedangkan saya mahu menggunakan khidmat Mac Chew dan Jenny Chin sebagai penerbit album saya. Dalam hal ini, saya perlu fikir masak-masak,” katanya yang mempertaruhkan 50 peratus lagu karyanya sendiri untuk album ini.

Noryn menjelaskan, dia turut menerima lagu daripada komposer seberang, namun tegasnya, beliau mahu albumnya kali ini juga mendapat sentuhan anak seni tempatan seperti mana album terdahulunya berjudul Alam Maya.

Dengan nama yang semakin mekar mengharum serta ditambah dengan bakat besarnya itu, ramai yang mengandaikan Noryn kini sudah bersedia untuk mengambil alih tempat Datuk Sheila Majid sebagai ratu jazz negara.

Sambil tersenyum, dengan penuh rendah diri, Noryn memberitahu, dia hadir ke persada seni suara bukan untuk menggantikan sesiapa, tetapi hanyalah untuk mempertaruhkan bakatnya bagi dikongsi bersama para peminat muzik tempatan.

“Perkara ini subjektif dan sesiapa sahaja boleh memberikan pendapat. Kalau orang memberikan gelaran kepada saya, itu tanda mereka menghargai bakat saya dan saya terima dengan hati terbuka,” tuturnya lembut.

Pada majlis yang sama, Noryn sempat menghiburkan para tetamu dengan lagu Cerita Cinta dan seterusnya merasmikan cawangan baru Marie France Bodyline yang terletak di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor.

Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif Global Beauty International, Benjamin Lo yang merupakan syarikat induk bagi Marie France Bodyline

Sumber : utusan malaysia

Share/Save/Bookmark

admin Artis dan Kurus, Rawatan Moden, Tip Kurus

Kurus Dengan Ikat Perut melalui Pembedahan

April 9th, 2009

PEMBEDAHAN ikat perut atau mengecilkan perut dianggap sebagai langkah terakhir yang boleh diambil bagi individu obes selepas semua kaedah lain seperti bersenam, mengubah tabiat makan atau mengambil ubat mengikut arahan doktor tidak memberi kesan diharapkan.

Pembedahan ini bukan untuk cantik, sebaliknya bertujuan meningkatkan tahap kesihatan kerana individu obes mempunyai risiko mendapat pelbagai penyakit, termasuk serangan jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi dan strok.

Walaupun gemuk, anda tidak semestinya layak mendapatkan rawatan ini kerana ia direka khusus bagi individu yang mempunyai Indeks Jisim Tubuh (BMI) melebihi 32 kg/m² bagi penduduk Asia atau 35 kg/m² untuk penduduk Barat. BMI dikira dengan membahagikan berat dalam kilogram dengan tinggi dalam ukuran meter yang diganda duakan.

Mengapa kaedah ikat perut ini dikhususkan bagi kumpulan tertentu saja? Menurut Perunding Bedah Gastrointestin Pusat Perubatan Pantai, Datuk Dr Abdul Fahmi Karim, bagi kumpulan ini, peluang menurunkan berat badan melalui kaedah konvensional (menjaga makan dan bersenam) amat rendah iaitu kurang daripada 10 peratus.

Sebaliknya, kumpulan ini paling banyak berdepan risiko kesihatan seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, paras kolesterol tinggi, penyakit jantung atau strok, terutama jika mereka mengalami masalah berat badan sejak muda.

Perut manusia yang terletak dalam ruang abdomen adalah kantung elastik berotot dengan bentuk seperti buah pir. Bentuk dan saiznya berubah mengikut kedudukan badan dan jumlah makanan yang masuk ke dalamnya. Ia berfungsi sebagai tempat simpanan makanan sementara dan di sinilah proses penghadaman makanan berlaku.

Secara purata, perut berukuran 30.5 sentimeter (12 inci) panjang dan 15.2 sentimeter lebar (enam inci). Kapasiti perut orang dewasa ketika rehat (tidak mengandungi makanan) ialah kira-kira satu liter.

Bagaimanapun, oleh kerana ia elastik atau kenyal, perut boleh mengembang dan menampung antara dua hingga empat liter makanan.

Dr Abdul Fahmi berkata, makanan yang dimakan akan masuk dan memenuhi bahagian bawah perut terlebih dulu. Apabila berisi makanan, perut akan mengembang tetapi ia masih tidak memberi isyarat kenyang kepada otak.

Isyarat kenyang hanya diberi apabila bahagian atas perut (dipanggil bahagian kardiak) mengembang dan isyarat ini mengambil masa untuk sampai ke otak.

Apabila isyarat kenyang diterima, biasanya kita sudah terlebih makan, khususnya bagi individu yang makan cepat (makanan tidak dikunyah hingga benar-benar lumat sebelum ditelan).

Ini menyebabkan berlebihan pengambilan kalori harian dan keadaan menjadi lebih buruk (berat badan bertambah) jika penggunaan tenaga tidak setimpal dengan kemasukan tenaga dalam badan. Tenaga berlebihan ini disimpan sebagai lemak dan akibatnya tanpa disedari, kita menjadi gemuk.

“Dalam pembedahan yang menggunakan sistem LAP-BAND, perut pesakit diikat di bahagian atas, menjadikannya berbentuk seperti ‘hour-glass’ atau balang waktu (tabung kaca yang berisi pasir untuk mengukur waktu). Bahagian atas ini sangat kecil dengan muatan antara 30 hingga 50 mililiter saja atau sebesar bola golf .

“Perut atas yang baru ini boleh mengembang dua kali ganda saiz asalnya (60 hingga 100 mililiter). Perut diikat menggunakan getah khas yang disambungkan dengan alat kawalan dipanggil access port yang ditanam di bawah kulit. Melalui alat kawalan ini, doktor boleh memantau dan mengubah saiz perut baru pesakit.

“Semua prosedur ini dilakukan dengan kaedah pembedahan lubang kunci. Pesakit tidak perlu bimbang kerana saiz luka pembedahan sangat kecil dan cepat sembuh. Malah, pesakit dirawat sebagai pesakit luar dan tidak perlu tinggal di hospital,” katanya.

Dalam tempoh enam minggu pertama, perut atas tidak mengembang kerana banyak tisu membengkak akibat kehadiran benda asing (getah pengikat). Selepas tempoh ini baru doktor membuat sedikit penyesuaian pada perut baru pesakit.

Pengurangan berat badan melalui kaedah ini juga tidak berlaku mendadak kerana ia direka supaya pesakit mengalami penurunan berat yang sihat iaitu antara dua hingga empat kilogram sebulan. Bagaimanapun, kadar penurunan berbeza antara pesakit; ada yang turun lebih banyak dalam tempoh sebulan.

Kaedah ini mensasarkan penurunan berat badan antara 50 hingga 70 peratus daripada berat yang berlebihan dalam tempoh dua tahun. Contohnya bagi individu dengan ketinggian 1.6 meter dengan berat badan 95 kilogram mempunyai BMI sebanyak 37.1 kg/m².

Berat badan normal untuk individu ini ialah antara 46 hingga 64 kilogram; tetapi berat unggul ialah 55 kilogram. Ini bermakna berat badan berlebihan ialah 40 kilogram. Jadi dalam masa dua tahun dia perlu mengurangkan berat badan antara 20 hingga 28 kilogram.

Walaupun rawatan ini direka untuk orang dewasa, ia juga boleh dilakukan pada kanak-kanak dan remaja, dengan syarat mereka faham pembedahan itu untuk kebaikan mereka dan mendapat persetujuan ibu bapa.

Yang menarik, pembedahan ini bersifat berbalik iaitu getah pengikat boleh dikeluarkan dan perut kembali ke saiz asal. Bagaimanapun dalam kebanyakan kes, pesakit mahu ia terus kekal dalam badan supaya masalah pertambahan berat tidak berulang.

Namun perlu diingat, kaedah ini bukan untuk semua orang, kecuali bagi individu yang termasuk dalam kategori obesiti morbid iaitu kegemukan yang boleh mengundang pelbagai penyakit. Walaupun penggunaannya ke atas golongan muda (kurang 18 tahun) masih diperdebat, ia masih diberi pertimbangan.

Ini kerana kanak-kanak obes biasanya berdepan masalah psikologi dan sosial apabila mereka berasa rendah diri, terasing, diejek ahli keluarga dan rakan sebaya. Ini menyebabkan mereka lebih suka mengasingkan diri di rumah dan makan lebih banyak.

Masalah juga timbul jika ibu bapa kurang memberi perhatian kepada masalah berat badan dan menyediakan apa saja yang diminta si anak.

Dr Abdul Fahmi juga tidak menghalang jika ada yang mahu mencuba mengikuti program menguruskan badan anjuran pusat kecantikan.

Kaedah berkenaan berkesan jika dipatuhi sepenuhnya, tetapi kebanyakan (90 hingga 95 peratus) peserta program berhenti setengah jalan dan ini menjadikan kadar kejayaan hanya antara 10 hingga 15 peratus.

Bagi yang cekal dan kuat semangat, mereka boleh mengamalkan kaedah pengurangan berat badan konvensional yang mampu menurunkan sebanyak 25 peratus berat berlebihan.

Bagaimanapun bagi individu obes morbid, kadar ini tidak cukup untuk membolehkan mereka menikmati kehidupan lebih sihat.

Pun begitu, katanya, ia jauh lebih baik daripada tidak berusaha langsung kerana obesiti kini menjadi ancaman kesihatan paling besar kepada rakyat negara ini, termasuk kanak-kanak.

Amalan pemakanan selepas pembedahan

Beberapa hari pertama selepas pembedahan - Sejurus selepas pembedahan, pesakit hanya dibenar menghirup sedikit air atau mengulum ais. Pada hari kedua, baru minum lebih sedikit tetapi dalam kuantiti kecil pada satu-satu masa.

Selain air, pesakit perlu memilih jenis minuman yang mengandungi kalori bagi membekalkan tenaga. Untuk mengelak rasa mual dan muntah, jangan minum terlalu banyak.

Minggu pertama hingga keempat - Pesakit disaran makan makanan yang sangat lembut atau diet cecair seperti:

  • Sup (tanpa memakan sayur, daging, ayam dan tidak berkrim)
  • Dadih rendah lemak
  • Susu (khususnya susu rendah lemak)
  • Agar-agar
  • Jus atau puri buahDoktor atau pakar pemakanan akan memberi panduan mengenai pemakanan. Ketika ini, yang mustahak ialah memberi peluang badan membiasakan diri dengan sistem Lap-Band dan bukan mengurangkan berat badan.

    Minggu keempat hingga keenam - Ketika ini pesakit dibenarkan makan makanan lebih berat seperti sup berkrim, ikan dan ayam cincang. Pertukaran daripada makanan lembut kepada yang lebih berat perlu dilakukan secara berperingkat dan perlahan-lahan.

    Makanan yang lembut lebih mudah dihadam. Usah cepat sangat mahu beralih kepada makanan berat kerana sesetengah makanan seperti roti, nasi dan daging merah mungkin memberi masalah kepada pesakit.

    Kunyah makanan anda hingga betul-betul lumat sebelum ditelan untuk mengelak rasa mual, muntah, keradangan perut atau kembung. Pesakit juga berdepan risiko saluran perut tersumbat jika makanan yang masuk tidak benar-benar hancur. Jika mengalami masalah ini, pesakit perlu kembali diet cecair.

    Kerap muntah boleh meningkatkan kemungkinan ikatan pada perut teralih atau menyebabkan kantung perut atas meregang.

    Pemakanan selepas pembedahan - 10 syarat utama

    Pesakit perlu mengubah gaya dan tabiat makan sejurus selepas menjalani pembedahan.

    1. Makan tiga kali sehari dalam kuantiti kecil - Sistem yang digunakan ini membentuk kantung perut yang kecil - yang hanya boleh menampung kira-kira setengah cawan (85 hingga 113 gram) makanan.

    Jika pesakit cuba makan lebih daripada muatan ini, dia akan berasa mual atau muntah. Sebaliknya jika pesakit membiasakan diri makan banyak, kantung perut yang kecil ini akan meregang dan ia boleh merosakkan tujuan utama pembedahan ini.

    2. Makan perlahan-lahan dan kunyah hingga lumat (15 hingga 20 kali) - Makanan boleh memasuki stoma (lubang atau laluan perut yang baru) jika ia benar-benar hancur. Jika sebelum ini anda biasa makan cepat, belajar untuk makan perlahan-lahan dan menikmati keenakan makanan.

    3. Berhenti makan sebaik terasa kenyang - Apabila perut penuh, otak menerima isyarat bahawa anda sudah cukup makan. Bagaimanapun dalam keadaan biasa, penerimaan isyarat ini mengambil masa. Ada yang mengatakan otak hanya menerima isyarat kenyang dalam masa 20 minit dan ini sebabnya kita perlu makan perlahan-lahan.

    Jika makan cepat, pesakit mungkin makan lebih daripada diperlukan, boleh menyebabkan mual dan muntah. Cuba mengesan rasa kenyang dan jika ada, berhenti makan ketika itu juga.

    4. Jangan minum ketika makan - Pembedahan ini hanya berkesan jika pesakit makan makanan pejal. Jika pesakit minum ketika makan, makanan itu menjadi makanan cecair dan keberkesanan sistem ini terjejas.

    Jangan minum dalam masa satu hingga dua jam selepas makan. Kaedah ini membuatkan anda berasa kenyang lebih lama.

    5. Jangan makan di antara waktu makan - Mengambil snek atau makanan ringan boleh menjadi punca utama kegagalan dalam mana-mana kaedah mengurangkan berat badan. Tabiat ini perlu dihentikan segera. Pesakit yang makan dengan cara betul biasanya tidak berasa lapar sehingga tiba waktu makan seterusnya. Jika anda kerap berasa lapar, bermakna ikatan pada perut terlalu longgar dan segeralah berjumpa doktor untuk membetulkannya.

    6. Makan makanan berkualiti saja - Oleh kerana tidak boleh makan banyak, pesakit perlu makan makanan berkhasiat saja. Jangan sekali-kali mengisi perut baru yang kecil itu dengan makanan ringan.

    Makanan anda perlu mengandungi protein dan vitamin. Contoh makanan yang kaya khasiat ialah sayur-sayuran segar, buah-buahan, daging, ikan dan bijirin. Elakkan makanan yang tinggi kandungan lemak dan gula seperti minuman ringan dan berkarbonat, sirap, kek, biskut, manisan, jem, madu, coklat, pai, kerepek dan keropok serta pastri.

    Anda boleh makan epal dan oren, tetapi elak jus epal atau oren yang mengandungi banyak gula. Mungkin timbul kebimbangan tidak cukup zat jika pengambilan makanan dicatu ketat. Bagi yang ingin mengambil pil makanan tambahan, berbincang dengan doktor terlebih dulu.

    7. Elak makanan yang tinggi serat - Makanan banyak serat seperti asparagus boleh membuatkan lubang masuk ke perut (stoma) tersekat. Ia kerana serat tidak dapat dihancurkan melalui kunyahan atau tindakan air liur. Bagaimanapun, bukan anda tidak boleh makan asparagus langsung. Jika teringin, masak hingga lembut, hiris halus dan kunyah hingga lumat.

    8. Minum air secukupnya sepanjang hari - Jika berat badan anda turun, kandungan lemak dalam badan juga berkurang. Ia dikeluarkan sebagai bahan kumuh. Justeru, anda perlu minum banyak air sepanjang hari supaya proses penyingkiran bahan buangan ini lebih mudah.

    Walaupun keperluan setiap individu berbeza, secara umumnya kita memerlukan antara enam hingga lapan gelas air sehari. Ingat, anda sepatutnya hanya minum air masak. Boleh juga minum teh dan kopi tetapi mestilah tanpa gula, krimer atau susu. Ingat juga untuk mengasingkan waktu makan dan minum.

    9. Minum minuman rendah kalori saja - Tidak kira apa jenis minuman, semuanya boleh melalui lubang masuk ke perut dengan mudah. Jika anda minum minuman berkalori tinggi, penurunan berat badan tetap berlaku tetapi jumlahnya kecil walaupun semua syarat lain dituruti.

    10. Bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari - Bagi meningkatkan kejayaan mengurangkan berat badan, pesakit perlu bersenam kerana senaman menggunakan tenaga dan membakar kalori. Saiz badan anda mungkin menyukarkan anda bersenam, tetapi jangan patah semangat. Buat sekadar yang mampu. Lebih banyak berat badan anda turun, pergerakan menjadi lebih mudah.

    Mulakan dengan senaman mudah seperti berjalan atau berenang. Tingkatkan aktiviti secara beransur-ansur dengan berbasikal, jogging atau melakukan senaman aerobik. Pada masa sama, ubah aktiviti harian dengan berdiri berbanding duduk atau menaiki tangga berbanding menggunakan lif.

Sumber : Harian Metro

Share/Save/Bookmark

admin Rawatan Moden