Monthly Archives: April 2009

Cara Pantas Kuruskan Badan

option
www.KuruskanBadan.com

Seorang mamat yang gemuk masuk ke fitness center untuk menguruskan badan.. seorang lelaki di kaunter bertanya kepada mamat tadi;

“Kami menawarkan 2 program disini… RM 50 untuk versi ‘biasa’ dan RM100 untuk versi ‘cepat’.”

Mamat tu pon berkata, ” Saya ingat yang biasalah sebab saya ni baru nak try kuruskan badan.”
“Ok, Encik sila masuk ke bilik no.5 di penjuru bilik sana,” jawab penjaga kaunter.

Mamat tadi pun masuk la ke bilik itu dan menutupnya. Selang 2 minit kemudian, seorang wanita cantik, lawa, body best, mantap masuk ke dalam bilik itu.  Dia kemudian menanggalkan pakaiannya sehingga menyebabkan mamat tu tak senang duduk,berpeluh.

Perempuan tadi berkata,” kalau tuan dapat tangkap saya, tuan boleh buat apa saja dengan saya… hikhikhikk” dan dia terus berlari dalam bilik itu. mamat tadi pun kejar la.. kejar punya kejar samapai 10 minit pon tak dapat lagi. tapi mamat tu kejar lagi sampai terjatuh terjelepok lalu pengsan.

Apabila dia sedar, dia bangun dan terus ke penimbang dan mendapati beratnya dah turun 3 kg. ” wow.. mmg senang nak turun berat badan,.. memang berbaloi aku bayar RM 50 tadi” katanya seorang diri.

Ingin Kurus Dengan Pantas? Saya ada jawapannya...

Ingin Kurus Dengan Pantas? Saya ada jawapannya...

Keesokkan harinya dia datang semula ke tempat tersebut. Dia ditegur oleh pemuda di kaunter. Setelah diberi penerangan seperti semalam, mamat tadi memilih untuk mencuba versi ‘cepat’ pula.

“Baiklah, Encik masuk bilik no. 6 di situ ya..”kata penjaga kaunter.

Setelah beberapa minit didalam bilik itu, datanglah seorang body builder yang badannya tough dan terus melondehkan pakainnya. body builder itu berkata ” Saya akan kejar kamu dalam bilik ini, dan kalau saya dapat … … hehhehheee”

Mengemas Rumah Dikira Bersenam?

option
www.KuruskanBadan.com

Saya akui ramai antara kita sekarang ini tidak sempat untuk bersenam. Macamana nak bersenam kalau kita keluar rumah pagi pukul 6.30 am dan balik dari ofis sampai rumah pukul 7.00pm. Nak keluar berjoging di waktu malam? Kalau yang tinggal di tempat yang ada kemudahan agak ok la..tapi kalau tinggal di kawasan perumahan yang banyak anjing..mahunya kurus kering dikejar anjing di waktu malam..haha.hah..betul tak?

Adakah Mengemas Rumah Boleh Kurus?

Adakah Mengemas Rumah Boleh Kurus?

Apa cara lagi yang kita boleh bersenam dengan cara yang paling pantas, senang dan menguntungkan semua orang? Dengan mengemas rumah? Biar betul….Tak kan la mengemas rumah pun boleh dianggap bersenam. Mulanya saya beranggapan sebegitu, tetapi saya dapati ramai pendapat pakar diet mengatakan dengan melakukan kerja-kerja mengemas rumah, kita sebenarnya telah melakukan pergerakan badan dan secara tidak langsung kita sebenarnya bersenam!!!

Wow…ini fakta menarik..nampaknya lepas ni kita semua kena rajinlah mengemas rumah, dengan menyapu, mengemop dan sebagainya. Cuma anda perlu pastikan, lepas mengemas rumah nanti, jangan pulak nak menjamu selera dengan penuh syahdu. Makan benda-benda yang berkhasiat sahaja, dan bukannya untuk tambahkan lagi berat yang sedia ada.

ok, saya nak kongsi laporan akhbar mengenai Kurangnya Senaman di Kalangan Wanita Moden yang boleh menyebabkan obesiti dan penyakit.

Gaya Hidup Moden Punca Wanita Semakin Kurang Bersenam

KOTA BAHARU, 4 Sept (Bernama) — Perubahan gaya hidup yang semakin moden dan terlalu bergantung kepada peralatan mesin dalam kehidupan seharian menyebabkan golongan wanita di negara ini semakin kurang bersenam, kata seorang pensyarah sukan.

Ketua Unit Sains Sukan Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Chen Chee Keong berkata 80 peratus daripada wanita yang telah dinilai mengaku kurang bersenam.

“Kebanyakan mereka tidak bersenam kerana beberapa faktor seperti tidak mempunyai masa yang cukup, kurang pengetahuan tentang senaman, perubahan dalam gaya hidup dan terlalu bergantung pada mesin seperti mesin basuh, mesin pengering kain, dan mesin pencuci pinggan mangkuk,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu membentangkan kertas kerja bertajuk “Penilaian dan Promosi Kecergasan Berkaitan Dengan Kesihatan Dalam Kalangan Wanita Pertengahan Umur” pada Seminar Sains Sukan ke-7 anjuran USM.

Dr Chen berkata soal kurang bersenam tidak boleh dipandang ringan oleh golongan wanita, ini kerana lama-kelamaan ia boleh menyebabkan timbulnya penyakit kronik seperti sakit jantung, kencing manis, strok dan obesiti.

Menurutnya golongan wanita perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya 20 minit sehari dan tiga kali seminggu untuk melakukan senaman.

“Banyak cara yang boleh dilakukan, kerja rumah juga boleh dijadikan satu bentuk senaman, bersenam tidak semestinya perlu berjoging di taman atau pun membeli peralatan senaman yang mahal-mahal,” katanya.

Beliau berkata antara senaman yang boleh dipraktikkan dengan mudah oleh golongan wanita ialah melakukan tarian poco-poco, bermain dengan anak-anak di taman, mengemas rumah dan berjalan kaki atau berjalan laju.

“Aktiviti seperti ini bukan sahaja dapat menguruskan badan, melancarkan perjalanan darah dan menyihatkan jantung tetapi dalam masa yang sama dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan,” katanya.

Dr Chen berkata golongan wanita, terutama yang berkerjaya dikesan lebih cenderung menggunakan jalan mudah untuk kelihatan kurus dan ramping, iaitu dengan menggunakan krim sapu dan ubat kurus yang banyak dijual di pasaran.

“Biasanya, golongan wanita bekerja paling berisiko untuk mempunyai berat badan tidak ideal kerana waktu makan mereka yang tidak menentu.

“Mereka juga lebih suka memilih makanan segera yang lebih cepat dan mudah diperolehi berbanding makanan sempurna manakala kerja rumah juga lebih banyak bergantung kepada orang gaji.

“Kalau betul ada krim sapu yang boleh hilangkan lemak sekelip mata, tentu tak ada lagi masalah berat badan berlebihan, tentu ramai orang kita yang kurus dan ramping,” katanya.

Jelas beliau, pada asasnya tiada jalan singkat untuk mendapatkan kesihatan yang unggul melainkan dengan melakukan senaman yang kerap dan memakan pemakanan yang seimbang.

– BERNAMA

Elak Gejala Aneroxia

option
www.KuruskanBadan.com

SESETENGAH ibu bapa menghadapi dilema apabila anak-anak remaja mereka (terutama perempuan) yang sedang membesar enggan atau terlalu memilih untuk makan kerana sentiasa mahu kelihatan kurus sehingga membawa kepada tabiat makan tidak betul.

Aneroxia Boleh Membawa Padah Kepada Individue

Aneroxia Boleh Membawa Padah Kepada Individue

Keadaan ini boleh membawa kepada gejala anorexia atau bulimia, masalah pemakanan yang sebelum ini hanya kedengaran di kalangan remaja Barat tetapi kini semakin menular di kalangan remaja tempatan.

Berikut beberapa panduan yang boleh diikuti untuk memujuk anak makan:

  • Perkara paling penting sebelum anak, ibu bapa sendiri perlu memahami diri sendiri. Sejauh mana pandangan umum memberi kesan pada pendapat anda berkaitan tentang penampilan dan bentuk badan. Beritahu anak sayangi diri sendiri seadanya. Kemudian jelaskan kaitan genetik dengan bentuk tubuh badan lelaki atau wanita. Pinggul, pinggan dan lengan yang berisi adalah genetik yang diwarisi wanita.
  • Analisis semua aspirasi dan impian anda. Mungkin anda mengharap terlalu banyak daripada anak berhubung dengan penampilan khususnya anak perempuan. Mungkin anda selalu mengkritik anak seperti “jangan makan terlalu banyak” atau “saya lebih menyukai awak, jika berat badan lebih ringan” atau “gaya pakaian ini hanya untuk gadis kurus, seperti model” dan sebagainya. Ayat-ayat seperti itu sebenarnya menjuruskan anak anda kepada masalah anorexia dan bulimia.

Bincang perkara-perkara berikut dengan anak anda (lelaki atau perempuan):

  • Bahayanya mengubah bentuk badan dengan cara diet yang tidak betul.
  • Betapa bergunanya bersenam untuk kesihatan dan bentuk badan.
  • Pentingkan mengamalkan pemakanan berkhasiat.
  • Senaman bukan saja membakar lemak dan kalori, bahkan membuatkan individu lebih berasa gembira.
  • Jelaskan kepada anak bahawa mereka tidak harus mengelak daripada aktiviti (seperti berenang dan menari) hanya kerana orang akan nampak tubuh yang berisi.
  • Ajar anak anda untuk berkawan dengan orang lain terutama wanita bukan melalui penampilan mereka tetapi melalui buah fikiran dan tingkah lakunya.
  • Jelaskan pada anak bahawa imej model kurus yang bergaya hanya dicipta untuk menjual pakaian yang dikenakan.
  • Galakan anak-anak melakukan aktiviti menyihatkan yang mereka gemari dan selalulah memuji mereka walaupun pencapaian yang kecil. Jangan hadkan jumlah kalori pada makanan anak-anak semata-mata hanya kerana anda mahu mengurangkannya. Sebaliknya, dapatkan nasihat doktor untuk berbuat demikian. Apa yang penting berikan makanan berkualiti dan sihat kepada anak-anak anda.
Sumber : utusan malaysia

Gemuk Mengundang Penyakit

MONTEL, gemuk gempal, gendut atau apa-apa saja gelaran yang diberi, apa yang pasti ‘fenomena’ berat badan berlebihan merupakan masalah yang melangkaui sempadan agama, bangsa, warna kulit mahupun negara.

Gemuk, Gempal, Gebu Mengundang Penyakit Berbahaya

Gemuk, Gempal, Gebu Mengundang Penyakit Berbahaya

Gemuk bukan sekadar menjejaskan penampilan diri malah lebih mustahak ia kerap dikaitkan dengan masalah kesihatan terutama apabila berat badan mencapai tahap obesiti.

Masalah tersebut amat berkait rapat dengan gaya hidup terutama dari segi tabiat pemakanan yang tidak sihat sehingga mendorong kepada timbulnya frasa baru ‘mati bukan kerana tak makan tapi mati kerana terlebih makan’.

Begitu pun hasil kajian terbaru oleh sekumpulan penyelidik di Britain baru-baru ini, mungkin membuat sebahagian daripada mereka yang menghadapi masalah tersebut mula memeriksa semua tabiat pemakanan mereka atau berkira-kira untuk mendaftar di mana-mana gimnasium atau pusat kecergasan.

Ini kerana, hasil kajian oleh kumpulan penyelidik dari Universiti Oxford itu mendapati risiko obesiti sama bahayanya dengan merokok iaitu boleh memendekkan jangka hayat hidup seseorang.

Kumpulan penyelidik tersebut telah menjalankan sebanyak 57 kajian yang meliputi beberapa kawasan di Eropah dan Amerika Utara.

Kajian tersebut melibatkan seramai sejuta orang dan tempoh penyelidikan telah berlangsung selama 10 hingga 15 tahun.

Dalam tempoh tersebut, didapati lebih kurang 100,000 orang yang terlibat dalam kajian telah meninggal dunia.

Menggunakan kaedah ukuran indeks jisim badan (BMI) iaitu ukuran yang membahagikan berat seseorang dalam kilogram dan ketinggian dalam meter untuk menentukan tahap obesiti, para penyelidik tersebut mendapati jumlah kematian paling rendah pada manusia yang mempunyai BMI 23 hingga 24 iaitu ukuran normal berat badan ideal.

Dalam satu kenyataan rasmi mereka menyatakan, golongan yang mempunyai berat badan berlebihan mempunyai BMI daripada 25 hingga 29. Manakala bagi yang mengalami obesiti pula, BMI mereka melebihi 30.

Kajian tersebut yang telah diterbitkan bagu-baru ini dalam jurnal perubatan yang diberi nama Lancet. Jurnal perubatan tersebut telah dibiayai oleh Majlis Penyelidik Perubatan Britain, Pertubuhan Jantung Britain, Penyelidikan Kanser UK dan beberapa persatuan kesihatan lain.

“Jika anda terasa berat badan anda semakin naik, inilah masanya untuk mengurangkan berat badan,” ujar salah seorang penyelidik, Sir Richard Peto.

Peto yang juga ahli statistik dan profesor di universiti yang sama menemui fakta bahawa mereka yang mempunyai BMI 30 ke atas kehilangan tiga tahun daripada umur mereka sepatutnya hidup.

“Mereka yang mempunyai BMI lebih daripada 40 akan kehilangan 10 tahun jangka hayat hidup, jumlah risiko yang sama dengan golongan yang kuat merokok,” jelas Peto lagi.

Sementara itu, ketua projek penyelidikan yang juga seorang pakar epidemiologi di universiti berkenaan mendapati, sebanyak 50 peratus mereka yang mengalami obesiti akan mati lebih cepat daripada mereka yang mempunyai berat badan normal.

Dia juga mengeluarkan kenyataan bahawa kebarangkalian mereka yang mengalami obesiti untuk mati kerana penyakit seperti sakit jantung, kencing manis, sakit buah pinggang atau masalah paru-paru adalah sebanyak dua pertiga. Manakala satu daripada enam orang yang obesiti akan mati disebabkan kanser.

Salah seorang penyelidik lain pernah berkata bahawa sedikit kenaikan di dalam BMI sudah memadai untuk meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular dan kanser.

Keputusan hasil kajian terbaru itu nyata bercanggah dengan satu kajian terdahulu oleh kumpulan penyelidik berbeza, yang menyatakan bahawa golongan yang mempunyai berat badan berlebihan hidup lebih lama daripada mereka yang kurus dan mempunyai berat badan normal.

Bagaimanapun kajian tersebut telah disangkal kerana ia adalah kajian yang telah dibuat antara tahun 1975 hingga 1985 dan kesimpulan tersebut tidak lagi relevan untuk zaman ini.

Kadar peningkatan obesiti semakin mendadak di barat dan menjadi punca utama masalah jantung di barat.

“Adalah diharapkan orang ramai menyedari tentang risiko penyakit yang akan menyerang jika mereka mengalami obesiti dan mengambil langkah segera untuk mengurangkan berat badan dengan cara yang sihat”.

Sumber : Utusan Malaysia

Lelaki Juga Mahu Badan Yang Ideal

Pemakanan seimbang, senaman bantu lelaki miliki badan ideal

Lelaki Juga Mahu Miliki Badan Sasa

Lelaki Juga Mahu Miliki Badan Sasa

BAGAIKAN lumrah dalam diari kehidupan wanita untuk mengamalkan diet. Pantang ditegur mengenai perubahan saiz badan, mulalah menggelabah untuk berbuat sesuatu semata-mata tidak mahu digelar si gemuk.

Bagaimana pula senario dunia lelaki? Tentunya isu panas membabitkan berat badan bermain dalam fikiran lelaki terutama jejaka yang menitik beratkan penampilan. Namun, suasananya mungkin berbeza dengan faktor realistik menjadi teras dalam alaman diet seimbang.

Lelaki zaman ini cukup menjaga keterampilan. Bukan saja dalam soal pemilihan pakaian, barangan penjagaan diri mahupun dandanan, lelaki zaman sekarang mahu lebih daripada itu termasuk bentuk badan idaman.

Faktor gemuk diakui menjadi antara penyebab saham pemikat si dara merudum. Desakan ini menyebabkan lelaki berusaha menjadi lebih kurus serta memiliki bentuk badan tegap, berotot dan sasa. Tidak hairan, semakin ramai lelaki bujang berkunjung ke pusat gimnasium selain aktif dalam kegiatan sukan seperti futsal, badminton, bola sepak dan berjoging.

Namun, dalam menghadapi situasi ini, faktor pemakanan harus dititik beratkan untuk menjamin diet seimbang.

Bercerita mengenai diet, pakar nutrisi, Kevin Zahri menyatakan sejauh mana sekalipun amalan berdiet mahupun aktiviti fitnes, amalan pemakanan haruslah seiring dan seimbang. Malah, beliau sentiasa menyebut faktor kualiti berbanding kuantiti.

Bagi pakar nutrisi itu, tidak guna berdiet serta mengambil sesuatu kandungan pemakanan andai tidak peka kandungan makanan yang diambil.

“Tidak bermakna mengamalkan diet sekiranya tidak tahu kandungan makanan yang diambil. Penting untuk kira tahu makanan yang wajar diambil atau dielak,” katanya.

Mengambil contoh dirinya, amalan pemakanan seimbang sentiasa dititikberatkan di sebalik aktiviti sihat serta rutin senaman. Tidak hairan, ramai jejaka cemburu melihat bentuk badan tegap dan ideal miliknya.

Bagi Kevin, beliau sentiasa mengamalkan faktor kualiti berbanding kuantiti. Sambil menambah, dia juga menikmati sesi teh tarik dan menjamu selera seperti orang lain. Apa yang penting, beliau tahu kandungan makanan yang diambil serta kesesuaian pola pemakanan harian.

Selain itu, Kevin tidak berenggang dengan air mineral untuk memastikan kandungan air dalam badan seimbang.

Merujuk prinsip dan pendekatan yang diambil Kevin, nyata amalan diet tidak semestinya memerlukan kita mengorbankan wang ringgit dan masa, sebaliknya impian memiliki bentuk badan ideal dapat digapai melalui teknik serta amalan yang bijak dan praktikal.

Sekiranya bijak meneliti isi kandungan pemakanan selain memilih senaman ideal, apa yang dicita-citakan selama ini akan berhasil. Janganlah pula semangat berdiet sekadar sekerat jalan!

8 tip miliki tubuh sempurna:

  • Pastikan anda tahu kandungan makanan yang diambi.l
  • Elak menahan lapar semata-mata tidak mahu gemuk.
  • Kurangkan kadar sajian makanan yang selama ini menjadi menu tetap.
  • Makan banyak produk bijirin, kekacang, buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Kurangkan penggunaan garam dan gula.
  • Lakukan aktiviti senaman secara berkala.
  • Nikmati gaya hidup sihat seperti beriadah, bersenam serta amalan gaya hidup sihat.
  • Minumlah banyak air terutama air masak sekurang-kurangnya 8 gelas sehari.

INFO: Langkah penjagaan diet

  • Bagi mengelak berat badan berlebihan, kurangkan pengambilan tenaga dan lemak yang banyak.
  • Tingkatkan penggunaan karbohidrat kompleks dan gula semulajadi daripada 28 peratus kepada 48 peratus
  • Kurangkan pengambilan gula yang diproses daripada 45 peratus kepada 10 peratus daripada keseluruhan jumlah tenaga.
  • Jumlah lemak tidak melebihi jumlah tenaga. Lemak polyunsaturated tidak lebih 10 peratus dan lemak monounsaturated pada kadar 10 peratus hingga 15 peratus.
  • Kurangkan pengambilan kolesterol tidak lebih dari 30mg sehari.
Sumber : Berita Harian

Kurus Dengan Ikat Perut melalui Pembedahan

PEMBEDAHAN ikat perut atau mengecilkan perut dianggap sebagai langkah terakhir yang boleh diambil bagi individu obes selepas semua kaedah lain seperti bersenam, mengubah tabiat makan atau mengambil ubat mengikut arahan doktor tidak memberi kesan diharapkan.

Pembedahan ini bukan untuk cantik, sebaliknya bertujuan meningkatkan tahap kesihatan kerana individu obes mempunyai risiko mendapat pelbagai penyakit, termasuk serangan jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi dan strok.

Oh..Adakah aku perlu pertimbangkan untuk ikat perut supaya lebih kurus?

Oh..Adakah aku perlu pertimbangkan untuk ikat perut supaya lebih kurus?

Walaupun gemuk, anda tidak semestinya layak mendapatkan rawatan ini kerana ia direka khusus bagi individu yang mempunyai Indeks Jisim Tubuh (BMI) melebihi 32 kg/m² bagi penduduk Asia atau 35 kg/m² untuk penduduk Barat. BMI dikira dengan membahagikan berat dalam kilogram dengan tinggi dalam ukuran meter yang diganda duakan.

Mengapa kaedah ikat perut ini dikhususkan bagi kumpulan tertentu saja? Menurut Perunding Bedah Gastrointestin Pusat Perubatan Pantai, Datuk Dr Abdul Fahmi Karim, bagi kumpulan ini, peluang menurunkan berat badan melalui kaedah konvensional (menjaga makan dan bersenam) amat rendah iaitu kurang daripada 10 peratus.

Sebaliknya, kumpulan ini paling banyak berdepan risiko kesihatan seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, paras kolesterol tinggi, penyakit jantung atau strok, terutama jika mereka mengalami masalah berat badan sejak muda.

Perut manusia yang terletak dalam ruang abdomen adalah kantung elastik berotot dengan bentuk seperti buah pir. Bentuk dan saiznya berubah mengikut kedudukan badan dan jumlah makanan yang masuk ke dalamnya. Ia berfungsi sebagai tempat simpanan makanan sementara dan di sinilah proses penghadaman makanan berlaku.

Secara purata, perut berukuran 30.5 sentimeter (12 inci) panjang dan 15.2 sentimeter lebar (enam inci). Kapasiti perut orang dewasa ketika rehat (tidak mengandungi makanan) ialah kira-kira satu liter.

Bagaimanapun, oleh kerana ia elastik atau kenyal, perut boleh mengembang dan menampung antara dua hingga empat liter makanan.

Dr Abdul Fahmi berkata, makanan yang dimakan akan masuk dan memenuhi bahagian bawah perut terlebih dulu. Apabila berisi makanan, perut akan mengembang tetapi ia masih tidak memberi isyarat kenyang kepada otak.

Isyarat kenyang hanya diberi apabila bahagian atas perut (dipanggil bahagian kardiak) mengembang dan isyarat ini mengambil masa untuk sampai ke otak.

Apabila isyarat kenyang diterima, biasanya kita sudah terlebih makan, khususnya bagi individu yang makan cepat (makanan tidak dikunyah hingga benar-benar lumat sebelum ditelan).

Ini menyebabkan berlebihan pengambilan kalori harian dan keadaan menjadi lebih buruk (berat badan bertambah) jika penggunaan tenaga tidak setimpal dengan kemasukan tenaga dalam badan. Tenaga berlebihan ini disimpan sebagai lemak dan akibatnya tanpa disedari, kita menjadi gemuk.

“Dalam pembedahan yang menggunakan sistem LAP-BAND, perut pesakit diikat di bahagian atas, menjadikannya berbentuk seperti ‘hour-glass’ atau balang waktu (tabung kaca yang berisi pasir untuk mengukur waktu). Bahagian atas ini sangat kecil dengan muatan antara 30 hingga 50 mililiter saja atau sebesar bola golf .

“Perut atas yang baru ini boleh mengembang dua kali ganda saiz asalnya (60 hingga 100 mililiter). Perut diikat menggunakan getah khas yang disambungkan dengan alat kawalan dipanggil access port yang ditanam di bawah kulit. Melalui alat kawalan ini, doktor boleh memantau dan mengubah saiz perut baru pesakit.

“Semua prosedur ini dilakukan dengan kaedah pembedahan lubang kunci. Pesakit tidak perlu bimbang kerana saiz luka pembedahan sangat kecil dan cepat sembuh. Malah, pesakit dirawat sebagai pesakit luar dan tidak perlu tinggal di hospital,” katanya.

Dalam tempoh enam minggu pertama, perut atas tidak mengembang kerana banyak tisu membengkak akibat kehadiran benda asing (getah pengikat). Selepas tempoh ini baru doktor membuat sedikit penyesuaian pada perut baru pesakit.

Pengurangan berat badan melalui kaedah ini juga tidak berlaku mendadak kerana ia direka supaya pesakit mengalami penurunan berat yang sihat iaitu antara dua hingga empat kilogram sebulan. Bagaimanapun, kadar penurunan berbeza antara pesakit; ada yang turun lebih banyak dalam tempoh sebulan.

Kaedah ini mensasarkan penurunan berat badan antara 50 hingga 70 peratus daripada berat yang berlebihan dalam tempoh dua tahun. Contohnya bagi individu dengan ketinggian 1.6 meter dengan berat badan 95 kilogram mempunyai BMI sebanyak 37.1 kg/m².

Berat badan normal untuk individu ini ialah antara 46 hingga 64 kilogram; tetapi berat unggul ialah 55 kilogram. Ini bermakna berat badan berlebihan ialah 40 kilogram. Jadi dalam masa dua tahun dia perlu mengurangkan berat badan antara 20 hingga 28 kilogram.

Walaupun rawatan ini direka untuk orang dewasa, ia juga boleh dilakukan pada kanak-kanak dan remaja, dengan syarat mereka faham pembedahan itu untuk kebaikan mereka dan mendapat persetujuan ibu bapa.

Yang menarik, pembedahan ini bersifat berbalik iaitu getah pengikat boleh dikeluarkan dan perut kembali ke saiz asal. Bagaimanapun dalam kebanyakan kes, pesakit mahu ia terus kekal dalam badan supaya masalah pertambahan berat tidak berulang.

Namun perlu diingat, kaedah ini bukan untuk semua orang, kecuali bagi individu yang termasuk dalam kategori obesiti morbid iaitu kegemukan yang boleh mengundang pelbagai penyakit. Walaupun penggunaannya ke atas golongan muda (kurang 18 tahun) masih diperdebat, ia masih diberi pertimbangan.

Ini kerana kanak-kanak obes biasanya berdepan masalah psikologi dan sosial apabila mereka berasa rendah diri, terasing, diejek ahli keluarga dan rakan sebaya. Ini menyebabkan mereka lebih suka mengasingkan diri di rumah dan makan lebih banyak.

Masalah juga timbul jika ibu bapa kurang memberi perhatian kepada masalah berat badan dan menyediakan apa saja yang diminta si anak.

Dr Abdul Fahmi juga tidak menghalang jika ada yang mahu mencuba mengikuti program menguruskan badan anjuran pusat kecantikan.

Kaedah berkenaan berkesan jika dipatuhi sepenuhnya, tetapi kebanyakan (90 hingga 95 peratus) peserta program berhenti setengah jalan dan ini menjadikan kadar kejayaan hanya antara 10 hingga 15 peratus.

Bagi yang cekal dan kuat semangat, mereka boleh mengamalkan kaedah pengurangan berat badan konvensional yang mampu menurunkan sebanyak 25 peratus berat berlebihan.

Bagaimanapun bagi individu obes morbid, kadar ini tidak cukup untuk membolehkan mereka menikmati kehidupan lebih sihat.

Pun begitu, katanya, ia jauh lebih baik daripada tidak berusaha langsung kerana obesiti kini menjadi ancaman kesihatan paling besar kepada rakyat negara ini, termasuk kanak-kanak.

Amalan pemakanan selepas pembedahan

Beberapa hari pertama selepas pembedahan – Sejurus selepas pembedahan, pesakit hanya dibenar menghirup sedikit air atau mengulum ais. Pada hari kedua, baru minum lebih sedikit tetapi dalam kuantiti kecil pada satu-satu masa.

Selain air, pesakit perlu memilih jenis minuman yang mengandungi kalori bagi membekalkan tenaga. Untuk mengelak rasa mual dan muntah, jangan minum terlalu banyak.

Minggu pertama hingga keempat – Pesakit disaran makan makanan yang sangat lembut atau diet cecair seperti:

  • Sup (tanpa memakan sayur, daging, ayam dan tidak berkrim)
  • Dadih rendah lemak
  • Susu (khususnya susu rendah lemak)
  • Agar-agar
  • Jus atau puri buahDoktor atau pakar pemakanan akan memberi panduan mengenai pemakanan. Ketika ini, yang mustahak ialah memberi peluang badan membiasakan diri dengan sistem Lap-Band dan bukan mengurangkan berat badan.Minggu keempat hingga keenam – Ketika ini pesakit dibenarkan makan makanan lebih berat seperti sup berkrim, ikan dan ayam cincang. Pertukaran daripada makanan lembut kepada yang lebih berat perlu dilakukan secara berperingkat dan perlahan-lahan.

    Makanan yang lembut lebih mudah dihadam. Usah cepat sangat mahu beralih kepada makanan berat kerana sesetengah makanan seperti roti, nasi dan daging merah mungkin memberi masalah kepada pesakit.

    Kunyah makanan anda hingga betul-betul lumat sebelum ditelan untuk mengelak rasa mual, muntah, keradangan perut atau kembung. Pesakit juga berdepan risiko saluran perut tersumbat jika makanan yang masuk tidak benar-benar hancur. Jika mengalami masalah ini, pesakit perlu kembali diet cecair.

    Kerap muntah boleh meningkatkan kemungkinan ikatan pada perut teralih atau menyebabkan kantung perut atas meregang.

    Pemakanan selepas pembedahan – 10 syarat utama

    Pesakit perlu mengubah gaya dan tabiat makan sejurus selepas menjalani pembedahan.

    1. Makan tiga kali sehari dalam kuantiti kecil – Sistem yang digunakan ini membentuk kantung perut yang kecil – yang hanya boleh menampung kira-kira setengah cawan (85 hingga 113 gram) makanan.

    Jika pesakit cuba makan lebih daripada muatan ini, dia akan berasa mual atau muntah. Sebaliknya jika pesakit membiasakan diri makan banyak, kantung perut yang kecil ini akan meregang dan ia boleh merosakkan tujuan utama pembedahan ini.

    2. Makan perlahan-lahan dan kunyah hingga lumat (15 hingga 20 kali) – Makanan boleh memasuki stoma (lubang atau laluan perut yang baru) jika ia benar-benar hancur. Jika sebelum ini anda biasa makan cepat, belajar untuk makan perlahan-lahan dan menikmati keenakan makanan.

    3. Berhenti makan sebaik terasa kenyang – Apabila perut penuh, otak menerima isyarat bahawa anda sudah cukup makan. Bagaimanapun dalam keadaan biasa, penerimaan isyarat ini mengambil masa. Ada yang mengatakan otak hanya menerima isyarat kenyang dalam masa 20 minit dan ini sebabnya kita perlu makan perlahan-lahan.

    Jika makan cepat, pesakit mungkin makan lebih daripada diperlukan, boleh menyebabkan mual dan muntah. Cuba mengesan rasa kenyang dan jika ada, berhenti makan ketika itu juga.

    4. Jangan minum ketika makan – Pembedahan ini hanya berkesan jika pesakit makan makanan pejal. Jika pesakit minum ketika makan, makanan itu menjadi makanan cecair dan keberkesanan sistem ini terjejas.

    Jangan minum dalam masa satu hingga dua jam selepas makan. Kaedah ini membuatkan anda berasa kenyang lebih lama.

    5. Jangan makan di antara waktu makan – Mengambil snek atau makanan ringan boleh menjadi punca utama kegagalan dalam mana-mana kaedah mengurangkan berat badan. Tabiat ini perlu dihentikan segera. Pesakit yang makan dengan cara betul biasanya tidak berasa lapar sehingga tiba waktu makan seterusnya. Jika anda kerap berasa lapar, bermakna ikatan pada perut terlalu longgar dan segeralah berjumpa doktor untuk membetulkannya.

    6. Makan makanan berkualiti saja – Oleh kerana tidak boleh makan banyak, pesakit perlu makan makanan berkhasiat saja. Jangan sekali-kali mengisi perut baru yang kecil itu dengan makanan ringan.

    Makanan anda perlu mengandungi protein dan vitamin. Contoh makanan yang kaya khasiat ialah sayur-sayuran segar, buah-buahan, daging, ikan dan bijirin. Elakkan makanan yang tinggi kandungan lemak dan gula seperti minuman ringan dan berkarbonat, sirap, kek, biskut, manisan, jem, madu, coklat, pai, kerepek dan keropok serta pastri.

    Anda boleh makan epal dan oren, tetapi elak jus epal atau oren yang mengandungi banyak gula. Mungkin timbul kebimbangan tidak cukup zat jika pengambilan makanan dicatu ketat. Bagi yang ingin mengambil pil makanan tambahan, berbincang dengan doktor terlebih dulu.

    7. Elak makanan yang tinggi serat – Makanan banyak serat seperti asparagus boleh membuatkan lubang masuk ke perut (stoma) tersekat. Ia kerana serat tidak dapat dihancurkan melalui kunyahan atau tindakan air liur. Bagaimanapun, bukan anda tidak boleh makan asparagus langsung. Jika teringin, masak hingga lembut, hiris halus dan kunyah hingga lumat.

    8. Minum air secukupnya sepanjang hari – Jika berat badan anda turun, kandungan lemak dalam badan juga berkurang. Ia dikeluarkan sebagai bahan kumuh. Justeru, anda perlu minum banyak air sepanjang hari supaya proses penyingkiran bahan buangan ini lebih mudah.

    Walaupun keperluan setiap individu berbeza, secara umumnya kita memerlukan antara enam hingga lapan gelas air sehari. Ingat, anda sepatutnya hanya minum air masak. Boleh juga minum teh dan kopi tetapi mestilah tanpa gula, krimer atau susu. Ingat juga untuk mengasingkan waktu makan dan minum.

    9. Minum minuman rendah kalori saja – Tidak kira apa jenis minuman, semuanya boleh melalui lubang masuk ke perut dengan mudah. Jika anda minum minuman berkalori tinggi, penurunan berat badan tetap berlaku tetapi jumlahnya kecil walaupun semua syarat lain dituruti.

    10. Bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari – Bagi meningkatkan kejayaan mengurangkan berat badan, pesakit perlu bersenam kerana senaman menggunakan tenaga dan membakar kalori. Saiz badan anda mungkin menyukarkan anda bersenam, tetapi jangan patah semangat. Buat sekadar yang mampu. Lebih banyak berat badan anda turun, pergerakan menjadi lebih mudah.

    Mulakan dengan senaman mudah seperti berjalan atau berenang. Tingkatkan aktiviti secara beransur-ansur dengan berbasikal, jogging atau melakukan senaman aerobik. Pada masa sama, ubah aktiviti harian dengan berdiri berbanding duduk atau menaiki tangga berbanding menggunakan lif.

Sumber : Harian Metro

Obesiti dan Aktiviti Fizikal

AKTIVITI fizikal memang terbukti memiliki pelbagai manfaat kesihatan.Antara lain, ia menguatkan tulang dan otot, meningkatkan kesihatan mental dan mood, mengurangkan tekanan darah, membaiki tahap kolesterol serta mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular, kencing manis, barah payudara dan barah usus.

Adakah obesiti disebabkan kurang senaman atau pemakanan?

Adakah obesiti disebabkan kurang senaman atau pemakanan?

Otak turut mendapat tempias apabila seseorang itu bersenam. Bagaimanapun, ia mungkin bukanlah penawar untuk mereka yang menghadapi masalah obesiti.

Pemakanan yang lebih berkhasiat disertakan dengan senaman sememangnya penawar mujarab untuk mengurangkan berat badan sekali gus mengelakkan masalah kegemukan.

Satu kajian terkini menyarankan pemakanan seimbang seharusnya memainkan peranan penting apabila memperkatakan topik penjagaan berat badan.

Penyelidik daripada Sistem Kesihatan Universiti Loyola, Chicago, Amerika Syarikat (AS) dan beberapa pusat berkaitan, membandingkan wanita Afrika-Amerika di kota metropolitan Chicago dengan wanita di pedalaman Nigeria.

Secara purata, wanita Chicago mempunyai berat kira-kira 83 kilogram (kg) dan wanita Nigeria sekitar 58kg.

Penyelidik sudah menjangka, wanita Nigeria yang lebih kurus sememangnya lebih aktif secara fizikal. Namun, penyelidik agak terperanjat apabila mendapati tiada perbezaan ketara antara dua kumpulan terbabit dari segi jumlah kalori yang dibakar ketika menjalani aktiviti fizikal.

“Aktiviti fizikal yang kurang bukanlah punca utama masalah obesiti,” kata Pakar Pemakanan Universiti Loyola, Amy Luke, yang juga anggota pasukan penyelidik itu.

Garis panduan kerajaan Amerika Syarikat menyatakan setiap minggu, seorang dewasa memerlukan sekurang-kurangnya dua setengah jam aktiviti aerobik sederhana (seperti berjalan pantas) atau 75 minit aktiviti lebih cergas seperti berjoging. Golongan dewasa juga perlu melakukan aktiviti untuk menguatkan otot seperti mengangkat berat atau senaman bangun duduk, sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

Manfaatnya untuk kesihatan secara keseluruhan memang jelas. Malah senaman turut menunjukkan ia mampu meningkatkan prestasi akademik kanak-kanak.

Apabila bersenam, lebih banyak berlaku pembakaran kalori. Masalahnya, mereka yang bersenam mempunyai kecenderungan untuk makan lebih banyak, kata Pengerusi Jabatan Perubatan Pencegahan dan Epidemiologi universiti berkenaan, Richard Cooper.

Pemakanan juga lebih dikaitkan dengan keadaan wanita Chicago yang rata-rata mempunyai badan lebih berat daripada wanita Nigeria, kata Amy.

Menurutnya, pemakanan wanita Nigeria tinggi dengan serat dan karbohidrat serta rendah lemak dan protein haiwan. Sebaliknya, pemakanan wanita Chicago itu pula mengandungi 40 hingga 45 peratus lemak serta tinggi kandungan makanan proses.

Bagaimanapun, lebih banyak penyelidikan diperlukan apatah lagi penemuan terbaru juga bercanggah dengan kajian lain.

Satu kajian diterbitkan dalam keluaran jurnal Arkib Perubatan Dalaman mendapati masyarakat Amish lama yang mempunyai genetik berkait obesiti dapat mengekalkan tubuh langsing kerana mereka banyak melakukan senaman.

Hasil kajian terkini itu (yang diterbitkan dalam keluaran jurnal Obesiti September 2008) juga serupa dengan kajian pada 2007 membabitkan lelaki dan wanita di Jamaica. Penyelidik daripada Universiti Loyola dan pusat lain mendapati tiada kaitan antara pertambahan berat badan dan kalori yang dibakar ketika melakukan aktiviti fizikal.

“Semakin banyak bukti terkumpul menyatakan pengambilan pemakanan mungkin lebih penting berbanding tahap penggunaan tenaga.

“Pengurangan berat badan tidak mungkin berlaku tanpa kekangan dari segi pemakanan,” kata Amy.

Pusat lain yang terbabit dalam kajian berkenaan termasuk Universiti Ibadan di Nigeria, Universiti Howard, Sekolah Kesihatan Awam Johns Hopkins dan Universiti Wisconsin.

Pada masa sama, kelembapan ekonomi pula mungkin menyebabkan ramai yang mengurangkan perbelanjaan ke atas makanan tetapi beberapa pakar bimbang ia mungkin menyebabkan ramai mengalami pertambahan berat badan.

Ada beberapa kajian mengaitkan obesiti dengan tabiat pemakanan kurang menyihatkan di kalangan penduduk berpendapatan rendah.

Penyelidik rata-rata bimbang apabila masyarakat mula mengurangkan perbelanjaan ke atas makanan, mereka turut mengurangkan perbelanjaan makanan menyihatkan yang lazimnya lebih mahal seperti ikan segar dan buah-buahan, sebaliknya lebih cenderung membelanjakan wang untuk pilihan makanan lebih murah yang kaya dengan kandungan gula dan lemak tepu.

“Apabila orang ramai menjimatkan wang dari segi pembelian makanan, mereka akan memilih makanan yang mempunyai kandungan yang tinggi dari segi gula dan lemak tepu yang lebih murah,” kata Pengarah Program Sains Pemakanan, Universiti Washington, Adam Drewnowski.

Malah, menurutnya, keadaan mungkin akan jadi lebih buruk apabila obesiti berlaku akibat kegagalan persekitaran ekonomi.

Kajian Drewnowski sendiri mengemukakan kaitan antara pendapatan dan obesiti.

“Di Seattle, kami mendapati terdapat lima kali ganda perbezaan dari segi kadar obesiti berdasarkan tempat tinggal mereka iaitu, mereka yang tinggal di kawasan berpendapatan rendah mempunyai lebih ramai bilangan penduduk yang mengalami masalah kegemukan,” katanya.

Menurutnya, kajian di California menyarankan peningkatan kemiskinan sebanyak 10 peratus boleh mengakibatkan enam peratus peningkatan masalah obesiti di kalangan orang dewasa.

Amerika Syarikat mendahului negara lain di dunia dari segi obesiti. Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS, lebih satu pertiga golongan dewasa AS iaitu lebih daripada 72 juta orang dan 16 peratus kanak-kanak mengalami masalah kegemukan.

“Kami mengaitkan kemiskinan dengan kegemukan kerana makanan yang padat dengan tenaga adalah lebih murah. Kemiskinan tidak bermakna seseorang itu perlu jadi gemuk tetapi hakikatnya, ia mampu membuatkan seseorang bertambah berat badan akibat kemiskinan,” kata bekas Presiden Persatuan Jantung Amerika, Dr Robert Eckel.

Bagi Drewnowski, masyarakat boleh menikmati makanan menyihatkan yang mampu dibeli misalnya dengan mengutamakan makanan asas seperti pernah dialami warga AS ketika zaman kemelesetan sekitar 1930-an.

“Antara makanan yang mampu dimiliki dan berkhasiat termasuk kekacang, daging, susu, keju, lobak merah, kentang, sup dan nasi,” katanya yang menggelarkan makanan terbabit sebagai ‘diet untuk zaman baru kemelesetan.’

sumber: Harian Metro

Miliki Berat Badan Ideal

Bersenam Bukan Satu-Satunya Cara Untuk Kurus

Bersenam Bukan Satu-Satunya Cara Untuk Kurus

DALAM merangka rancangan untuk menurunkan berat badan, kadangkala pantang larang yang perlu diikuti memang memeningkan hingga ramai menganggap ia sesuatu yang merumitkan.

Ini kerana pelbagai faktor perlu diambil kira termasuk memerhatikan kandungan khasiat, jumlah protin, lemak serta karbohidrat yang sesuai bagi memastikan impian untuk menurunkan berat badan dapat dicapai.

Namun kini, tiba masa bagi masyarakat mencuba jalan mudah dalam usaha menurunkan berat badan tanpa memerlukan sebarang kiraan matematik.

Menerusi ada cara mudah yang perlu dilakukan setiap hari, seseorang itu berpeluang memiliki berat badan diidamkan dan selesa dengan sajian makanan terhad yang dinikmati sebelum ini.

Cara pertama adalah harus sentiasa menikmati hidangan pencuci mulut biarpun lazimnya ramai yang enggan makan sajian kerana kerana bimbang kandungan kalorinya.

Penulis buku The Volumetrics Eating Plan, Dr Barbara Rolls, mengakui sering mengakhiri hidangan makannya dengan menikmati pencuci mulut enak seperti coklat.

“Biarpun ia dinikmati dalam kuantiti sedikit, ia dapat memberi isyarat hidangan sudah berakhir,” katanya.

Cara kedua, kertas pengesat tangan yang disediakan di sesebuah restoran juga dapat membantu dan mempunyai fungsi penting.

Sebagai contoh, jika menikmati piza, anda boleh mengeringkan lemak di atasnya menggunakan kertas berkenaan. Ia mungkin melecehkan bagi sesetengah orang tetapi bayangkan jika lemak berkenaan dikumpul untuk setahun, pasti jumlahnya menakutkan.

Kajian yang dilakukan Universiti Tennessee, baru-baru ini pula mendapati mengambil hidangan yang mengandungi 1,800 miligram kalsium sehari seperti susu dapat menghalang penyerapan 80 kalori.

Justeru, cara ketiga adalah mulakan pengambilan kalsium dengan mencampurkan satu peratus susu dengan minuman kopi kegemaran untuk mengurangkan kandungan kalori.

Namun, boleh juga mencuba cara keempat iaitu sentiasa memesan burger kegemaran bersama pisau plastik.

Biarpun kedengaran agak melucukan, sebenarnya pisau berkenaan amat penting untuk membuang lebihan krim keju serta mayonis yang meleleh keluar daripada burger berkenaan. Dengan itu, anda boleh mengetepikan hampir separuh kalori yang terkandung dalam makanan itu.

Cara kelima pula adalah mengambil makanan pedas yang boleh meningkatkan metabolisme badan secara sementara. Sebagai cadangan, nikmati minuman tenusu seperti dadih bersama ayam pedas.

Untuk cara keenam, banyakkan mengambil buah-buahan berkulit nipis yang boleh dikupas. Kandungan serat cukup banyak dalam kupasan berkenaan sama ada kentang, epal atau pear. Untuk oren pula, usah dibersihkan keseluruhan buah itu kerana bahan putih berjurai di luar oren banyak mengandungi flavonoid.

Cara ketujuh pula, jika berkunjung ke pasar raya, jangan lupa membeli sayur-sayuran segar yang sudah dipotong. Biarpun harganya agak mahal tetapi ia berbaloi untuk membuatkan anda lebih menghargainya.

“Jadikan sayuran berkenaan sebagai snek kurang tenaga sebanyak mungkin. Untuk itu, pastikan sayuran sentiasa diletakkan berdekatan dengan tangan bagi mudah dicapai dan anda pasti tiada alasan untuk mengelakkannya sebagai sajian,” kata Dr Barbara.

Jika anda mempunyai tabiat makan daripada bekas makanan yang dibeli, ia sebenarnya kurang baik untuk diamalkan. Jika membeli makanan dari kedai, letakkannya di dalam pinggan terlebih dulu sebelum makan kerana otak sebenarnya harus melihat makanan di dalam pinggan.

Habiskan apa yang ada dalam pinggan dan kemudian berhenti.

Dr Barbara dalam kajiannya turut mendapati memulakan sesuatu hidangan dengan menikmati salad boleh membantu mengurangkan 12 peratus jumlah kalori yang diambil.

“Tetapi, jauhi kepingan roti bakar kecil dan kuah berkrim yang boleh mendatangkan kesan berlawanan,” katanya.

Selain itu, cuba cari jalan terbaik bagi memastikan tangan anda sentiasa sibuk dengan melakukan kerja dan tidak tercari-cari makanan untuk dikunyah.

Untuk itu, pelbagai aktiviti boleh dilakukan antaranya menyulam, melukis serta membabitkan diri dalam bidang pertukangan.

Ketika berada di pejabat pula, cuba untuk berehat atau berhenti sebentar sekurang-kurangnya 10 minit. Ini kerana jika minda terkeliru seketika daripada fokus kerja kepada makanan, ia mungkin disebabkan betul-betul lapar atau berasa bosan dengan bos.

Ambil kesempatan berkenaan untuk berehat seketika tetapi jika selepas 10 minit kemudian masih terfikir mengenai makanan, kemungkinan besar anda benar-benar lapar.

Justeru, anda boleh mengambil peluang itu untuk menikmati salah satu daripada sembilan hidangan daripada buah-buahan serta sayur-sayuran yang diperlukan setiap hari.

Paling menarik untuk dicuba adalah nikmati hidangan kegemaran sekali sekala. Ini kerana, terlalu banyak pantang mungkin masih tidak menjadikan anda kurus atau gembira.

Lantas, nikmati apa saja hidangan yang dimahukan sekali atau dua kali seminggu. Ia pasti menggembirakan anda.

sumber: Harian Metro

Badan Jejaka Perlu Mantap Sebelum Kahwin

Badan Jejaka Perlu Mantap Sebelum Kahwin

Badan Jejaka Perlu Mantap Sebelum Kahwin

HARI bahagia tidak lama lagi namun fikiran mula risau kerana tubuh badan bukan seperti yang diidam-idamkan. Dengan lebihan lemak di sana-sini dan otot yang belum cukup pejal, fikiran rungsing memikirkan penampilan diri pada hari istimewa.

Dilema ini bukan saja dialami bakal pengantin perempuan namun si jejaka yang tentunya mahu tetamu memuji tubuh gagah disaluti persalinan baju Melayu songket dan keris kemas di pinggang.

Biar agak terlambat, apa kata ikuti panduan khusus XY Fizikal bagi bakal raja sehari. Seeloknya, berilah tempoh sekurang-kurangnya sebulan untuk anda melihat hasil senaman yang dipraktiskan.

Jika anda ingin nampak lebih kurus tentu ada amalan diet perlu dipatuhi. Jika anda memiliki berat badan ideal tapi ingin kelihatan lebih tegap, rutin senaman tertentu pasti memerlukan anda memberi lebih tumpuan kepada otot atas badan.

Namun program senaman ini sukar mencapai objektif jika tidak ‘dibantu’ program diet bersesuaian. Justeru, anda harus meneliti pemakanan sepanjang mempraktiskan program senaman.

Disyor juga, dalam seminggu, anda melakukan senaman secara selang sehari dan menyusun aktiviti senaman mengikut bahagian yang ingin diberi tumpuan. Contohnya, hari pertama anda tumpukan kepada atas badan manakala hari seterusnya, bawah badan.
Apa yang pasti, bentuk badan menarik tentu membuatkan anda lebih berkeyakinan dan segak pada hari bahagia.

XY Fizikal kali ini mengesyorkan beberapa senaman yang sesuai diamalkan raja sehari seperti yang ditunjukkan oleh jurulatih kecergasan Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd, Mohd Hoesni Rahmat.

Bahagian atas badan

Senaman untuk bahagian dada
Antara senaman yang anda boleh lakukan adalah bench press (angkat berat sambil baring di atas kerusi), incline press sebanyak 10 hingga 12 kali dalam tiga set atau tekan tubi sebanyak mana anda mampu.

Senaman untuk bahagian belakang
Antara senaman yang boleh anda lakukan adalah lat – pull down, sitting cable row (tarik kabel sambil duduk) ataupun back extension (meniarap sambil mengangkat badan ke atas). Semua gerak senaman ini boleh dilakukan sebanyak 10 kali dalam tiga set.

Senaman untuk bahagian bahu
Antara senaman yang boleh anda lakukan adalah seated dumbbell press, lateral raises ataupun front shoulder raises. Ketiga-tiganya boleh dilakukan sebanyak 10 kali dalam tiga set.

Senaman untuk bahagian lengan.
Antara senaman yang boleh anda lakukan adalah seated dumbbell bicep curls sebanyak lapan hingga 10 kali dalam tiga set atau triceps pull down, lapan kali dalam tiga set.

Senaman untuk bahagian abdomen
Antara senaman yang boleh anda lakukan adalah floor crunches sebanyak 15 hingga 20 kali dalam tiga set.

Bahagian bawah badan
Antara senaman yang boleh anda lakukan adalah machine squats atau dumbbell squats sebanyak 10 kali dalam tiga set, hamstring curls sebanyak 20 kali dalam empat set atau standing calf raises sebanyak 20 kali dalam tiga set.

www.bharian.com.my

Bob AF, Aizat AF dan Imran Ajmain Kuruskan Badan?

Selalunya hanya artis atau personaliti wanita sahaja yang sering mengambil berat tentang kecantikan diri. Tetapi pada hari ini artis lelaki juga sudah bijak menjaga penampilan supaya kelihatan lebih menarik dan anggun sepanjang masa. Terbaru ramai artis lelaki kini yang berlumba-lumba untuk menguruskan badan dan mendapatkan susuk tubuh yang ideal. Antaranya Bob AF, Aizat AF, Imran Ajmain dan penyanyi baru Syah.

Bob AF Maintain Cute dengan Bentuk Badan Macam ni!

Bob AF Maintain Cute dengan Bentuk Badan Macam ni!

Ini merupakan satu perkembangan yang bagus dan harap usaha mereka bukan setakat ‘hangat-hangat tahi ayam’. Lagi satu, biarlah diet yang diamalkan merupakan diet yang sihat supaya tubuh badan kekal cergas. Bukannya apa, sudah selalu kita dengar cerita tentang selebriti yang terlalu mahu menjaga badan, akhirnya memilih cara yang tidak betul supaya kekal langsing.

Menurut Imran Ajmain dan Bob AF, mereka berdua sekarang memang menjaga pemakanan supaya berat badan mereka tidak meningkat. Ujar mereka, apabila berat badan semakin turun, mereka semakin selesa dan berkeyakinan untuk menghiburkan peminat. Paling penting, dengan susuk tubuh yang ideal, stamina untuk menyanyi menjadi lebih baik dan kualiti vokal masing-masing bolehlah juga diperbaik

sumber : www.gua.com.my

Related Posts Plugin for <img src=, Blogger..." style="border: 0" />