Archive

Archive for April, 2009

Tidak Perlu Rendah Diri Walau Gemuk

April 27th, 2009

KUALA LUMPUR 13 Jun - Beberapa personaliti tempatan bersaiz besar menganggap kegemukan di kalangan wanita tempatan bukan satu isu asalkan mereka mampu berdikari dan menjalani kehidupan yang berkualiti.

Bahkan, wanita yang gemuk perlu lebih realistik tanpa memandang rendah bentuk badan sendiri agar tidak memudaratkan kesihatan mental.

Selain itu, masalah mendapatkan pakaian bersesuaian juga tidak sepatutnya menjadi halangan untuk tampil bergaya sebagaimana golongan bersaiz lebih kecil.

Pelakon, pengacara dan produser, Syaniza Hisham (Syanie) bersyukur dianugerahkan badan yang sihat membolehkannya mencari rezeki tanpa bergantung kepada orang lain.

Baginya, wanita yang berbadan besar perlu berfikiran positif dan tahu menilai kemampuan diri sendiri agar tidak menyusahkan orang lain.

“Wanita yang mendapat pelbagai penyakit yang berpunca daripada kegemukan perlulah berusaha mengatasinya termasuk mengurangkan berat badan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Beliau diminta mengulas laporan kajian Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan yang mendapati satu juta atau 18.8 peratus wanita berusia 25 hingga 64 tahun mengalami masalah gemuk.

Bagi Syanie, setiap wanita perlu percaya kecantikan dalaman termasuk pekerti dan kemahiran berdikari adalah lebih penting berbanding kecantikan rupa paras yang boleh luntur dimamah usia.

Beliau juga menyelar wanita yang meratapi saiz badan sendiri dengan menganggap saiz sebagai halangan untuk bergaya.

“Kebelakangan ini, banyak jalur fesyen untuk golongan bersaiz besar muncul jadi mereka mempunyai lebih banyak pilihan, tetapi jika mereka masih merasakan gemuk sebagai halangan, mereka perlulah berusaha mengatasinya,” tegasnya.

Penyanyi ceria, Faradina Mohd. Nadzir (Dina) pula berpendapat perangkaan terbaru itu bukanlah sesuatu isu yang mengejutkan sebaliknya merupakan satu evolusi normal manusia akibat pelbagai faktor khususnya hormon dan gaya hidup.

“Ramai wanita tempatan khususnya yang bekerja mempunyai saiz besar bukan kerana malas atau obses pada makanan tetapi disebabkan faktor-faktor lain seperti keturunan, penyakit dan latar belakang pekerjaan,” katanya.

Contohnya, menurut beliau, salah seorang rakannya mengalami kegemukan sejak kecil akibat saluran penghadaman gagal menghasilkan hormon-hormon pankreas.

Oleh itu, penyanyi yang ligat menari itu berharap masyarakat lebih berfikiran terbuka agar golongan ini dapat menjalani kehidupan normal tanpa sebarang perasaan rendah diri.

Beliau yang lahir dalam keluarga bersaiz besar tidak merasa rendah diri dengan bentuk badannya, tetapi mengaku pernah berusaha melangsingkan badan.

Bagaimanapun, jelasnya penggunaan pil pelangsing itu telah memudaratkan kesihatan sehingga terpaksa mendapatkan rawatan perubatan.

Sumber Utusan Malaysia : 14/06/2007

Share/Save/Bookmark

admin Artis dan Kurus

Risiko Pil Pelangsing

April 25th, 2009

Pada tahun 2002, masyarakat dunia dikejutkan dengan kisah seorang pelakon Singapura, Andrea De Cruz, yang nyaris maut gara-gara mengambil pil pelangsing.

Insiden itu benar-benar memberi kesan dan menginsafkan kalangan wanita yang sebelum itu telah dan berhasrat mencuba kaedah sama, semata-mata mahu memperoleh bentuk badan idaman.

De Cruz yang mengalami kegagalan fungsi hati secara tiba-tiba, terpaksa menjalani pemindahan hati untuk menyelamatkan nyawanya.

Walaupun memenangi kes saman terhadap pengedar pil itu dan diberi ganti rugi berjumlah hampir S$900,000 (RM1.9 juta) oleh Mahkamah Tinggi, belum tentu peristiwa itu dapat dilupakan begitu sahaja.

Yang pasti ia meninggalkan trauma kepada wanita yang pernah bercita-cita menjadi ratu cantik dunia semasa kecilnya itu.

Antaranya, melibatkan seorang pekerja pusat hiburan di Kuantan, Pahang,yang dikatakan mengambil ubat melangsingkan badan dan alkohol secara berlebihan.

Turut dikaitkan seorang kakitangan Kementerian Kesihatan, Rosni Mat, 24,.

Bekas graduan di salah sebuah universiti tempatan yang mempunyai ketinggian 164 sentimeter dan berat antara 80 hingga 90 kilogram itu didakwa membeli ubat pelangsing berasaskan herba melalui internet.

”Sebagai jalan pintas, masih ramai yang mengambil pil pelangsing tanpa memikirkan kesan sampingan,” kata Perunding Kardiologi, Datuk Dr. Khoo Kar Lin pada sesi ceramah bertajuk Kehidupan dan Kematian: Kebenaran Tentang Penggunaan Ubat-Ubatan bagi Penurunan Berat Badan, di salah sebuah hotel di ibu negara baru-baru ini.

Menurut beliau, memiliki tubuh kurus dan langsing menjadi satu trend kepada individu terutama wanita hari ini.

Kebanyakan individu ini menganggap tubuh sedemikian bukan sahaja berupaya menukar diri mereka kelihatan lebih cantik, bahkan sihat dan sempurna terutama dari segi penampilan.

”Ini turut dipengaruhi dengan kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan serta bebas daripada penyakit yang diakibatkan oleh kegemukan atau berat badan berlebihan,” katanya.

Katanya, kegemukan yang dikaitkan dengan kemajuan serta perubahan gaya hidup juga dikesan sebagai punca pelbagai jenis penyakit.

Antaranya, kencing manis, jantung, darah tinggi dan pelbagai jenis kanser.

Beliau juga memberitahu, menyekat pemakanan atau berdiet sahaja tidak cukup menjadikan ia kenyataan.

Jika sekalipun seseorang itu berjaya menguruskan badan, tetapi kulit yang dulunya tegang kini mulai kendur akibat tidak bersenam.

Senaman kata Khoo, penting bukan sahaja ingin memperoleh bentuk tubuh menarik, tetapi tahap kesihatan juga dapat dikekalkan.

”Ia patut dijadikan amalan dalam gaya hidup sihat seharian di samping memastikan pengambilan makanan seimbang mengikut piramid yang betul,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, pengambilan pil pelangsing bukan sahaja satu pembaziran, lebih besar kesan terhadap kesihatan seseorang.

Tambahnya, tiada gunanya jika seseorang itu berjaya mengurangkan berat badan dalam masa singkat sekalipun, tetapi gagal mengekalkannya dan menyebabkan masalah kesihatan lain pula.

”Selain terdedah kepada kemungkinan mengalami kerosakan organ dalaman, individu itu juga menghadapi risiko maut jika tersalah langkah.

”Ini kerana ada ubat penahan lapar yang memberi kesan sampingan pada kesihatan dan menjejaskan sistem saraf pusat di dalam tubuh seseorang,” katanya

Sumber :  Utusan Malaysia : 26/04/2005

Share/Save/Bookmark

admin Tragedi Nak Kurus

Pil Pelangsing Sebab Kematian

April 25th, 2009

Salam,

Cerita yang saya paparkan ini dilaporkan oleh berita harian pada 16 Februari 2007. Walaupun ianya telah lama berlaku, semoga cerita ini menjadi panduan dan pedoman untuk kita semua.

Kapsul pelangsing dijual syarikat jualan langsung rosakkan buah pinggang

ALOR STAR: Seorang suri rumah berusia 33 tahun meninggal dunia semalam, dipercayai akibat mengambil ubat pelangsing dan teh herba buatan China.

Normala Shahidan, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Alor Star (HAS) kira-kira jam 1.30 petang semalam selepas menerima rawatan sejak dua hari lalu.

Sebelum ini, ibu tiga anak berusia empat hingga 13 tahun itu dikatakan tidak berpuas hati dengan berat badannya mencecah sehingga 72 kilogram (kg) menyebabkan beliau mengambil kapsul pelansing dan teh herba itu sejak sembilan bulan lalu.

Suaminya, Roslan Khamis, 39, berkata berat badan isterinya meningkat mendadak kepada 72kg selepas melahirkan anak ketiga, Mohd Izzudin, menyebabkan dia tertekan lalu mengambil pelangsing yang dibeli melalui jualan langsung.

Beliau berkata isterinya membeli sekotak ubat pelangsing mengandungi 60 kapsul dan teh herba mengandungi 30 sachet yang berharga RM350.

“Isteri saya pernah bertanya ketika membelinya pada Mei tahun lalu tetapi saya memintanya menyelidik sama ada ia sesuai atau sebaliknya. Saya tak kisah dia mengambilnya kerana pada kotak berkenaan tertera kelulusan Kementerian Kesihatan.

“Selepas hampir tiga bulan, berat badannya menurun kepada 55kg menyebabkannya amat seronok,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gunung Keriang, dekat sini, semalam.

Namun, sejak November tahun lalu, Normala mengadu sakit pinggang dan menjalani rawatan di HAS dan doktor mengesahkan buah pinggangnya mengalami kerosakan.

Beliau berkata, sejak itu, isterinya sering berulang-alik ke HAS untuk menjalani rawatan susulan tetapi keadaannya kritikal sejak kelmarin.

“Saya dimaklumkan sebelah buah pinggang rosak teruk dan perlu dibuang segera untuk menyelamatkan nyawanya. Dia tidak boleh bercakap serta bergerak sejak beberapa hari lalu sebelum menghembuskan nafas terakhirnya,” katanya.

Roslan berkata, sebelum ini doktor pernah bertanyakan isterinya sama ada mengambil pil pelangsing tetapi dia hanya mendiamkan diri.

Beliau bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat pengedar pil pelangsing itu.

Jenazah Normala dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gunung Keriang, dekat sini jam 6 petang semalam.

Share/Save/Bookmark

admin Tragedi Nak Kurus

Tragedi Sedut Lemak (Lipo Suction)

April 25th, 2009

Petikan dari Harian Metro

KUALA LUMPUR - Entah di mana silapnya, setelah 14 kali menjalani rawatan sedut lemak pada badan, Noraini Mohd. Ghazali, 30, menghembuskan nafas terakhir ketika mahu mendapatkan rawatan susulan di sebuah klinik di Jalan Lima, Ampang

Menurut doktor yang merawatnya, pengarah urusan syarikat membekal peralatan makmal itu telah muntah sebanyak tiga kali sebaik sahaja disuntik ubat pelali dan usaha menyelamatkannya selama 40 minit gagal.

Kakak angkat mangsa, Misha Abu Bakar, 46, berkata, kejadian yang berlaku amat mengejutkan kerana ketika itu dia sedang menunggu di tingkat bawah klinik tersebut.
Menurut Misha, dia berasa pelik kerana perlu menunggu selama hampir empat jam dari pukul 1 tengah hari sedangkan pengalamannya menemani adik angkatnya itu mendapatkan rawatan sebelum ini tidak pernah melebihi satu jam.

“Sekitar pukul 5 petang, saya kemudian melihat beberapa jururawat turun naik dalam keadaan cemas sehinggalah saya mendesak mereka memberitahu apa yang berlaku.”Mereka hanya meminta saya bertenang dengan alasan rawatan masih berjalan sebelum saya diminta naik ke bilik rawatan kerana doktor mahu berjumpa,” katanya

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Allahyarham. Kisah ini boleh dijadikan pengajaran kepada kita semua. InsyAllah.

Share/Save/Bookmark

admin Tragedi Nak Kurus

Dengan Kurus Anda Kelihatan Cantik?

April 22nd, 2009

Adakah anda setuju pendapat umum mengatakan orang yang kurus akan kelihatan lebih cantik, ayu dan kalau lelaki lebih hensem berbanding dengan orang yang lebih berisi?

Kebanyakan kita hendak mengurangkan berat badan untuk rupa yang lebih menarik dan untuk berasa lebih lega.Fesyen terkini yang menonjol trend kurus juga memberi tekanan kepada ramai orang untuk mengurangkan berat badan mereka  supaya tidak ketinggalan.

Sebab yang terbaik untuk menyusutkan badan jika berat badan anda berlebihan atau anda obes ialah untuk kesihatan baik anda untuk jangkamasa panjang. Dan cara terbaik untuk mencapai ini ialah dengan kaedah yang berjangka panjang.

Kesusutan berat badan yang besar tidak diperlukan untuk memberi kesan. Kajian Jantung Framingham di Universiti Boston mendapati bahawa kaum lelaki dan perempuan pertengahan umur yang menyusut berat badan sebanyak 1 kg setahun mengurangkan risiko penyakit kencing manis  dengan lebih 60%.Faedah ini dapat dikekalkan,selagi kesusutan berat badan dikekalkan. Satu lagi kesimpulan kajian itu ialah pesertanya yang menyusut 0.5kg setahun  selama empat tahun dan berjaya mengekalkan penyusutan itu selama empat tahun lagi,mengurangkan risiko darah tinggi sebanyak 25%.

Ini bermakna,walaupun anda fikir anda tidak mencantikkan rupa anda dengan penyusutan hanya 0.5kg atau 1 kg, kesihatan anda akan bertambah baik.Jika anda lebih berat,banyak faedah akan menyusuli jika anda mengurangkan  berat badan tersebut.

Lupakan segala gimik penyusutan berat badan yang cepat atau diet. Kajian demi  kajian membuktikan bahawa penyusutan berat badan yang berpanjangan adalah lebih menyihatkan dan dikekalkan dalam masa panjang berbanding dengan diet cepat kurus.  Melainkan dalam keadaan  tertentu,doktor menasihati sesiapa yang mempunyai beratbadan berlebihan atau obes untuk menyusutkan 0.5-1 kg dalam seminggu,dan tidak sama sekali melebihi 1.5 kg seminggu.

Share/Save/Bookmark

admin Tip Kurus

Panduan Diet Tanpa Pil Kurus

April 22nd, 2009

Dengan pembangunan ekonomi dan gaya hidup dan diet yang semakin berubah, berat badan yang berlebihan dan obesiti (kegemukan) semakin meningkat di benua Asia.Ini mengakibatkan peningkatan kadar penyakit-penyakit yang berkaitan dengan berat badan berlebihan,termasuk diabetes (kencing manis) penyakit jantung,angin amar dan tekanan darah tinggi.

Obesiti dan berat badan berlebihan juga meningkatkan risiko kejadian sesetengah kanser,batu karang,penyakit gout,osteoartritis,kemandulan dan lain-lain penyakit.Individu yang berlebihan berat badan dan obes juga mempunyai harga diri yang rendah dan selalu berasa muram disebabkan oleh imej badan yang tidak menarik. Pendek kata,keadaan berat badan berlebihan mengurangkan kualiti dan keriangan hidup.

Nikmati banyak buah-buahan, sayuran, makanan bijirin penuh dan kekacang. Makanan sebegini mempunyai masa banyak tetapi tenaganya kurang padat dan membantu anda berasa kenyang lebih lama.

Makan dengan kadar sederhana makanan seperti daging kurang lemak,ikan,tenusu rendah lemak dan lain-lain protein.Makanan jenis protein paling berkesan untuk mengenyangkan kita.

Sekali-sekala makan dengan sukatan sederhana makan makanan yang mengandungi tenaga padat. anda mungkin berasa terkilan jika langsung tidak dapat menikmati makanan jenis ini.Jadi,rancangkan saat-saat untuk menikmati makanan ini tanpa berasa bersalah, kemudian teruskan dengan diet seimbang yang  dirancang dengan baik.

Pengambilan sajian makanan dan snek kerap dapat mengelakkan anda bermakan dengan keterlaluan. Sukatan makanan harus diawasi. Kajian menunjukkan sukatan makanan semakin meningkat dalam tempoh 20 tahun lepas dan mungkin menjadi punca utama pemakanan yang berlebihan.

Share/Save/Bookmark

admin Tip Kurus